Sumber keselamatan memberitahu, kumpulan pengganas melakukan tindakan kejam itu selepas cuba melarikan diri dalam pertempuran dengan tentera Filipina di Perkampungan Bud Taran, Indanan, Kepuluan Jolo.
Bernard yang berasal dari Sarawak dilaporkan terbunuh pada pukul 4.20 petang waktu tempatan.
Difahamkan, pertempuran itu tercetus ketika tentera Filipina cuba masuk ke kubu kuat kumpulan militan untuk menyelamatkan mangsa culik termasuk Bernard.
“Ketika pertempuran, Bernard yang cuba melarikan diri gagal bergerak pantas ekoran mengalami masalah sakit pada bahagian kaki.
“Ekoran itu, dia (Bernard) berjaya dikesan kumpulan militan sebelum ditembak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Pada 14 Mei lalu, Bernard bersama pemilik Restoran Ocean King, Thein Nyuk Fun, 50, diculik kumpulan penculik didalangi Muktadil Brothers dalam kejadian pukul 7.40 malam.
Bagaimanapun, selepas 179 hari dilarikan, Nyuk Fun yang mengalami masalah kencing manis kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat pada 9 November lalu.
Tambah sumber, mayat Bernard berkemungkinan dikebumikan di Indanan ekoran kawasan itu masih berada di dalam zon pertempuran kedua-dua pihak.
Katanya, pihak keselamatan akan berusaha mencari mayat mangsa walaupun peluang itu agak tipis.
Kata sumber itu lagi, selain Bernard, terdapat beberapa lagi mangsa culik antaranya rakyat Kanada, Itali, Belanda dan Filipina sendiri yang menjadi tebusan kumpulan militan tersebut.