Insiden itu berlaku ketika mereka berdua bersama seorang lagi rakan baru selesai menyiapkan kerja di sebuah pencawang baharu milik sebuah syarikat telekomunikasi di Kampung Bukit Kukuran, Kemasik, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Ihram Mohd Razif, 34, berkata, semasa kejadian dia dan mangsa sedang melakukan kerja pemasangan di atas pencawang pada ketinggian hanya 1.5 meter dari tanah, manakala seorang lagi rakan mereka berada lebih tinggi.
“Kejadian berlaku dalam sekelip mata saja. Dalam keadaan panik itu saya hanya sempat baling kotak ke arahnya untuk putuskan aliran elektrik,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman.
Mangsa yang masih bujang dan menetap di Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor bersama dua rakan setugasnya memulakan kerja di pencawang itu sejak 14 November lalu. Mereka bertiga yang bekerja dengan syarikat yang beribu pejabat di Klang, Selangor menginap di hotel sebaik tiba di daerah ini.
“Hari ini (kelmarin) dah masuk hari keempat kami buat kerja di sini, malah beberapa minit sebelum kejadian renjatan berlaku, semua kerja kami dah siapkan sepenuhnya, cuma semasa nak turun dari pencawang, tangan kanan arwah terpegang besi kotak agihan kuasa elektrik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian disebabkan renjatan arus elektrik.
Katanya, semasa mangsa menggelupur dalam keadaan berdiri dan satu lagi tangan mangsa iaitu tangan kiri terpegang pagar besi.
“Dari pemeriksaan dibuat mangsa melecur di kedua-dua tapak tangan dan belakang badan serta ada dua tompok kesan hitam pada bahu kirinya,” katanya.
Mayat mangsa dituntut kira-kira jam 12 tengah malam dan dibawa pulang ke rumahnya di Selangor untuk dikebumikan.