Search This Blog

Saturday, November 14, 2015

Lelaki maut dirempuh kenderaan lain


FAIRUS MOHD
Lelaki maut dirempuh kenderaan lain

13 NOVEMBER 2015
 Kedua-dua buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut di jalan Kuantan-Segamat pagi, semalam.
Lelaki maut dirempuh kenderaan lain

PEKAN - Seorang lelaki Orang Asli maut selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah lagi kenderaan lain ketika mahu membelok ke simpang di kilometer 75 Jalan Kuantan-Segamat, semalam.

Dalam kejadian pada jam 9.45 pagi itu, Aziz a/l Jota, 47, yang juga pekerja ladang sawit dari Kampung Putat RPS Iskandar Kemayan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Amran Sidek berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa memandu kereta Proton Iswara bersendirian menghala ke arah Kuantan.

"Ketika tiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Harrier dipandu seorang lelaki dari Putrajaya dari arah sama telah memotong beberapa buah kenderaan lain di hadapannya.

"Secara tiba-tiba, kereta mangsa yang berada di hadapan laluan sama telah mengubah haluan ke kanan untuk masuk ke simpang di sebelah kanan jalan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Jelasnya, berikutan keadaan jarak kedua-dua buah kenderaan terlalu dekat, pemandu Harrier tersebut telah melanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta yang dipandu mangsa.

"Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa tersepit dan maut di dalam kereta manakala pemandu Harrier tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

"Kes ini masih disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mendapatkan butiran serta maklumat terperinci berkaitan nahas.

Sementara itu, Amran meminta agar pengguna jalan raya terus mengamalkan sikap sabar dan berhemah ketika memandu dan lebih berhati-hati apatah lagi di laluan-laluan yang sememangnya 'terkenal' dengan lokasi kemalangan maut.

No comments:

Post a Comment