Search This Blog

Wednesday, November 11, 2015

Lelaki ditetak, hidung hampir putus


11 NOVEMBER 2015

GEORGETOWN - Seorang lelaki cedera parah di kedua-dua tangan manakala hidungnya hampir putus selepas dipukul dan ditetak sekumpulan lelaki di hadapan kuil di Hong Seng Estate, di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, dalam‎ kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun yang dalam keadaan mabuk dan sedang menunggang motosikal tiba-tiba didatangi enam lelaki sebelum mereka bertindak memukul dan menetaknya.

"Mereka menetak mangsa menggunakan parang sehingga lelaki itu cedera parah di kedua-dua tangan dan hidung juga terkoyak sehingga hampir putus," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, beberapa penduduk yang berada di kawasan itu bertindak meleraikan keadaan sebelum lima daripada enam lelaki terbabit melarikan diri dengan menaiki tiga motosikal.

"Seorang daripada mereka tidak sempat melarikan diri dan dipercayai bersembunyi dalam hutan berhampiran. Polis cuba mengesan lelaki itu di situ tetapi gagal," katanya.

Mior Faridalatrash berkata, mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini motif serta punca kejadian masih dalam siasatan.

"Usaha mengesan enam lelaki berusia 20 hingga 30 tahun itu sedang dijalankan," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

No comments:

Post a Comment