Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam apabila lelaki berusia 57 tahun itu bertindak naik ke tingkat 15 dan duduk di salah satu tingkap di koridor kondominium tersebut.
Difahamkan, bapa kepada tiga orang anak itu menghadapi masalah keluarga menyebabkan dia bertindak sedemikian, bagaimanapun kehadiran isteri­nya ke lokasi kejadian kira-kira dua jam kemudian membuatkan dia akhirnya berubah fikiran.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Timbalan Penguasa Bomba Kamarulzaman Mohd. Din berkata, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.03 tengah malam, sebuah jentera bomba dan Pasukan Menyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu bersama 15 anggota termasuk dua pegawai dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan dua kali daripada lelaki berkenaan yang memaklumkan dia ingin terjun dari bangunan tersebut.
“Pihak kami mengambil masa kira-kira dua jam untuk berun­ding dengan lelaki terbabit sebelum mengambil keputusan memanggil isterinya bagi memujuk lelaki terbabit,” katanya.
Kamarulzaman berkata, hasil rundingan dan pujukan isterinya, lelaki itu akur dan bertindak turun dari tingkap koridor sebelum diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.