GAMBAR fail 3 April 2015 menunjukkan sekumpulan nelayan Myanmar beratur untuk menaiki sebuah kapal semasa operasi menyelamat oleh pihak berkuasa di Benjina, Kepulauan Aru, Indonesia. - AGENSI
JAKARTA – Sebuah mahkamah Indonesia semalam membuka perbicaraan terhadap tiga warga tempatan dan lima rakyat Thailand kerana jenayah penyeludupan manusia yang dikaitkan dengan perhambaan dalam industri makanan laut.
Kesemua suspek ditangkap di sebuah kampung di bandar Benjina, pedalaman Indonesia pada Mei lalu susulan pendedahan oleh agensi berita AP, dua bulan sebelumnya.
Mereka dibicarakan secara berasingan di Tual, sebuah daerah di Kepulauan Maluku, tenggara Indonesia, kira-kira 2,900 kilometer ke timur Jakarta.
Tekong Thailand berusia 53 tahun, Youngyut Nitiwongchaeron ialah suspek pertama yang dibicarakan.
Tiga rakyat tempatan dan lima tekong Thai itu merupakan pekerja di Pusaka Benjina Resources yang merupakan antara firma perikanan terbesar di timur Indonesia.
Mereka dituduh mengurung sejumlah nelayan selama satu hingga enam bulan di sebuah bilik kurungan di pekarangan syarikat itu di Benjina.
Jika didapati bersalah, mereka boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda AS$46,000 (RM200,166).
Siasatan polis Indonesia mendapati beratus-ratus nelayan asing direkrut di Thailand dan dibawa sebagai buruh ke Indonesia menggunakan dokumen imigresen palsu. Mereka kemudian menjadi mangsa penderaan.
Sekurang-kurangnya lima bot nelayan yang digunakan suspek telah dirampas bersama berpuluh-puluh pasport dan buku pelaut. Lebih 2,000 lelaki dari Myanmar, Thailand, Kemboja dan Laos diselamatkan daripada perhambaan oleh pihak berkuasa Indonesia dan dihantar pulang sepanjang tahun ini. – AGENSI
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3rn2oIjBv
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment