Ini ekoran penahanan dua lelaki dan seorang wanita berumur 26 hingga 35 tahun dalam dua serbuan di Jawi, Nibong Tebal dan Jalan Raja Uda, Butterworth pada 3 November lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zakaria Ahmad berkata, serbuan di Jawi yang melibatkan sebuah rumah, pihaknya menahan sepasang kekasih berusia 26 dan 35 tahun pada pukul 2.30 pagi 3 November lalu.
Menurutnya, polis merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson daripada pasangan itu yang dipercayai digunakan dalam kejadian tembak berkenaan yang disembunyikan dalam sebuah pondok di Bukit Mertajam.
Ujarnya, susulan penahanan pasangan berkenaan, polis menahan seorang lagi lelaki di Jalan Raja Uda dan merampas sepucuk pistol bersama 14 butir peluru serta sejumlah dadah pada Isnin lalu.
“Lelaki berusia 30-an itu dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kes tembak berkenaan.
“Siasatan awal polis mendapati kejadian tembak itu berlaku kerana lelaki yang berusia 35 tahun itu marahkan mangsa kerana mangsa mengetahui suspek utama telah mengugut dan memukul rakan sekerjanya. Mangsa juga dikatakan mahu membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan,” katanya demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri (IPK), di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5.20 petang 8 Oktober lalu, mangsa Yap Kang Hee, 27, ditembak ketika sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya.
Mangsa yang bekerja di kilang perabot mengalami kecederaan di leher, bahu dan pipi.
Suspek yang menaiki sebuah motosikal dipercayai mengekori mangsa sebelum melepaskan tiga das tembakan menyebabkan motosikal mangsa terbabas serta melanggar tiang sebuah rumah di situ sebelum mangsa terjatuh manakala suspek melarikan diri.
Zakaria berkata, berdasarkan siasatan, tiga individu yang ditahan itu tidak bekerja dan dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar negeri ini.
Katanya, salah seorang lelaki terbabit mempunyai 12 rekod jenayah dan seorang lagi mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah dan jenayah kekerasan.
“Suspek kini ditahan reman sehingga 16 November ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Seksyen 8 A akta yang sama kerana memiliki peluru serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.