Pengarahnya, Paimuzi Yahya berkata, mereka yang terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun telah mengikut ajaran tersebut serta hilang sejak tahun lalu.
Katanya, waran tangkap telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menahan kesemua tertuduh selepas melarikan diri dan gagal hadir perbicaraan.
“Jawi telah menahan 23 pengikut ajaran Millah Abraham @ Ibrahim di dua lokasi berbeza iaitu Cheras dan Wangsa Maju. Kami mendapati ajaran ini bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.
“Hasil siasatan terperinci yang dilakukan ajaran ini menggabungkan tiga jenis agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi malah pengikutnya mentafsir al-Quran mengikut tafsiran sendiri, mendakwa hari kiamat adalah palsu, meninggalkan solat fardu dan Jumaat serta memutuskan hubungan dengan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas Jawi di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jawi, Wan Jaapar Wan Ahmad.
Mengulas lanjut Paimuzi berkata, ajaran Millah Abraham @ Ibrahim itu dibawa oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Ahmad Mosadiq yang berasal dari Indonesia, sebelum tahun lalu.
Katanya, berdasarkan maklumat Jawi, ajaran itu masih bergerak aktif dalam merekrut ahli-ahli baharu supaya memahami Islam secara logik dan terdapat lebih 100 pengikutnya di seluruh negara.
“Modus operandi Millah Abraham @ Ibrahim ini sangat licik kerana hasil rampasan barang-barang di markas mereka hanya menemukan al-Quran dan Bible. Jadi agak sukar untuk kami mengetahui bagaimana kaedah penyebaran ajaran ini.
“Justeru, Jawi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana ajaran yang diragui dan memastikan setiap pengajian yang dipelajari mendapat tauliah daripada pihak berkuasa,” katanya.
Kesemua tertuduh berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta (559) bagi kesalahan doktrin palsu serta Seksyen 5 Akta 559 mengembangkan doktrin agama dan sebagainya.
Orang ramai yang mengetahui lokasi 12 tertuduh berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Farah Wahida Zulkiflee 011-32961821 atau 1-800-88-1771.