Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mayat, Wan Yah Wan Mat, 63, yang mengalami bengkak di belakang kepala, lebam di kepala serta cedera di mulut dan hidung ditemukan terbaring di ruang tamu rumah unit pangsapuri tersebut yang dipercayai milik anak sulungnya yang berada di Kelantan.
Dua anak mangsa masing-masing berusia 25 dan 22 tahun serta masih menuntut di dua universiti awam iaitu di Gombak, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan iaitu membunuh.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainudin Ahmad berkata, mangsa yang berasal dari Pengkalan Kubor, Kelantan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras di sini yang tiba di lokasi kejadian.
“Polis pada mulanya menerima panggilan daripada salah seorang penduduk kawasan berkenaan yang terkejut melihat limpahan air paip keluar dari pintu utama rumah anak mangsa. Setiba di lokasi kejadian, anggota polis mengetuk pintu tetapi tiada siapa yang membukanya sehingga pihak bomba terpaksa dipanggil untuk membantu.
“Apabila pintu berjaya dibuka mereka melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu, anak lelaki mangsa sedang duduk di sofa sementara anak perempuannya berada di dalam bilik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zainuddin memberitahu, mayat mangsa telah dihantar ke HUKM untuk dibedah siasat.
Sementara itu, seorang jiran mangsa, Basir Abdullah, 41, mendakwa, kira-kira pukul 1 petang, dia ada mendengar bunyi bising seperti orang bergelut dan bertengkar di dalam rumah yang didiami mangsa.
Beliau berkata, dia yang bimbang terus mengetuk pintu rumah jirannya itu tetapi bunyi bergelut tiba-tiba hilang.
“Beberapa minit kemudian dia ternampak kesan air melimpah keluar daripada pintu rumah dan kerana khuatir ada sesuatu buruk terjadi, dia terus menghubungi polis.
“Polis yang datang cuba mengetuk pintu tetapi tidak dibuka dan pasukan bomba dipanggil untuk memecahkan pintu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Basir mendakwa, selepas siasatan dilakukan, dia nampak dua anak mangsa dibawa keluar oleh polis sementara mayat Wan Yah pula diusung untuk dihantar ke hospital.
Tambahnya lagi, mangsa dan anak perempuannya datang ke rumah tersebut dari Kelantan kira-kira tiga hari lalu untuk mengubati gadis itu yang dipercayai mengalami sakit misteri.
Katanya, rumah tersebut dimiliki anak sulung mangsa yang berada di Kelantan bersama keluarganya dan mangsa sepatutnya pulang ke kampung halamannya hari ini.