Search This Blog

Wednesday, November 18, 2015

Geng Wan Botak di Shah Alam lumpuh

RABU, 18 NOVEMBER 2015 @ 3:36 PM

Oleh Norashikin Leman
bhnews@bh.com.my



SHAH ALAM: Polis di sini, percaya dapat melumpuhkan kumpulan penjenayah dikenali 'Geng Wan Botak' selepas menahan ahli terakhir kumpulan berkenaan dalam satu serbuan malam, di sini, semalam.

Lelaki tempatan berusia 20-an itu ditahan di sebuah rumah selepas seminggu enam rakannya termasuk ketua kumpulan berkenaan diberkas polis secara berasingan minggu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata serbuan pada jam 3 pagi itu dibuat selepas risikan dan intipan dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima daripada rakan suspek.


Katanya, dengan penahanan lelaki berkenaan, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes samun yang dilaporkan di sekitar Shah Alam.

"Hasil soal siasat, polis turut menemui empat kereta dan sebuah motosikal yang dipercayai dilarikan suspek selepas menyamun mangsanya.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek positif dadah. Di ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, tadi.

Shafien berkata, enam Geng Wan Botak yang ditahan minggu lalu, diserahkan kepada IPD Brickfields, Kuala Lumpur untuk siasatan kerana dipercayai turut terbabit dengan dua kes samun di daerah terbabit.

Sabtu lalu, BH melaporkan ketua kumpulan Geng Wan Botak yang berusia 21 tahun ditahan dalam sebuah kereta di Sri Muda pada jam 1 pagi semalam selepas menyamun seorang wanita dan melarikan kereta mangsa.

Hasil soal siasat terhadap suspek, lima lagi ahli kumpulannya yang berusia antara 19 hingga 27 tahun ditahan di sini.

Susulan penahanan berkenaan juga, polis menemui tiga kereta dan sebuah motosikal yang dilarikan selepas menyamun selain senjata yang digunakan.

No comments:

Post a Comment