Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, ia berdasarkan keterangan awal yang diberikan oleh keluarga suspek berusia 35 tahun itu.
“Kes ini masih dalam siasatan dan tahap kesihatan mental lelaki itu akan dikenal pasti kemudian selepas dia didakwa di mahkamah.
“Berdasarkan siasatan awal terhadap keluarga suspek, kita percaya lelaki itu mempunyai masalah mental. Malah, kedua-dua mereka (suspek dan mangsa) saling tidak kenal-mengenali,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi Jumaat lalu, mayat K. Ganesan, 50, yang beralamat di Taman Slim Indah, Slim River ditemukan dalam keadaan mengerikan tanpa kepala dalam sebuah longkang di Jalan Kampung Batu 4, berhampiran Slim River.
Susulan penemuan tersebut, polis berjaya memberkas seorang pemandu lori di sebuah rumah di Kampung Air Jada, Gerik bersama sebuah bungkusan yang mengandungi kepala manusia dipercayai kepala mangsa.
Sementara itu, adik Ganesan, K. Poopathy, 45, berkata, ibu dan isteri serta dua anak abangnya itu bukan sahaja masih dalam kea­daan sedih dan trauma, malah kerap menangis mengenangkan insiden ngeri tersebut.
Lebih menyedihkan lagi kata­nya, anak lelaki sulung abangnya itu sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kejadian berkenaan sedikit-sebanyak mengganggu fokus untuk menghadapi peperiksaan.
“Ibu, isteri dan anak-anak Ganesan semuanya sedang bersedih. Mereka mahu datang ke Ipoh dari Raub, Pahang tetapi saya minta supaya mereka bersabar dan biar saya sahaja menguruskan urusan di sini.
“Anak lelaki abang saya sedang ambil SPM. Saya minta dia agar jangan susah hati dan tumpukan sahaja pada peperiksaan. Dia pelajar yang pandai dan ini untuk masa depannya. Kami sekeluarga sedih dan sakit hati dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.