Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka selepas dibawa oleh ibunya yang berusia 25 tahun ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan kira-kira pukul 3 pagi.
Polis yang menjalankan siasatan telah menahan bapa kepada bayi pe­rempuan malang itu yang berusia 27 tahun di Pangsapuri Kota Laksamana, di sini pada pukul 4 petang hari yang sama bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, suspek ditahan selepas bedah siasat yang selesai dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang semalam mendapati kematian mangsa disebabkan pendarahan dalaman dan retak tempurung kepala
“Hasil bedah siasat mendapati bayi berkenaan tidak lagi bernyawa dalam tempoh kurang 24 jam.
“Justeru, polis bersama pihak hospital menjalankan siasatan di sebuah rumah dipercayai dihuni kedua-dua ibu bapa bayi berkenaan bersama seorang kanak-kanak pe­rempuan berusia enam tahun iaitu kakak kepada bayi tersebut,” katanya.
Menurut Shaikh Abdul Adzis, siasatan di rumah itu dibuat bagi mengumpul keterangan selain bukti yang boleh dikaitkan dengan kejadian.
“Hasil siasatan awal, kita me­nganggap kes ini selesai berikutan penahanan bapa kepada bayi tersebut.
“Ujian saringan air ken­cing mendapati suspek positif dadah methamphetamin dan pemeriksaan rekod lampau mendapati suspek pernah terlibat dalam kes jenayah dan dadah,” ujarnya.
Shaikh Abdul Adzis memberitahu, sehingga kini polis juga telah merekodkan keterangan beberapa saksi yang terdiri daripada ibu bayi dan jiran-jiran yang tinggal berhampiran rumah dihuni keluarga berkenaan.
“Suspek kini telah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,”katanya.