Search This Blog

Monday, November 30, 2015

'Banjir termenung' landa 4 kampung

Rantau Panjang: Penduduk di empat kampung di daerah ini terutama di kawasan rendah mula dilanda banjir sejak tiga hari lalu kesan limpahan air Sungai Golok.
Empat kampung terbabit ialah Tersang, Lachang, Kelawar dan Bongor dinaiki air sedalam 0.5 meter.
Tinjauan Harian Metro mendapati, penduduk membina titi alternatif di depan rumah dan mula menggunakan sampan untuk ke jalan utama.
Penduduk Kampung Tersang, Ismail Salleh, 68, berkata, hujan lebat Jumaat lalu menyebabkan air sungai berdekatan rumahnya melimpah dan memenuhi halaman rumah.
Katanya, setiap tahun keadaan itu pasti berlaku kerana kedudukan kampung itu rendah dan berdekatan sungai Golok.
“Air ini menyebabkan ‘banjir termenung’ berlaku selama beberapa hari dan ia lebih teruk apabila hujan berterusan.
“Namun, saya bersyukur kerana air tidak naik ke rumah, tetapi kami sekeluarga perlu bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan di musim tengkujuh.
“Selepas banjir tahun lalu, saya membina ruang baru lebih tinggi bersebelahan rumah sedia ada dan meletakkan semua barangan berharga di situ,” katanya ketika ditemui semalam.
Suri rumah, Zubaidah Awang Senik, 59, berkata, penduduk sudah biasa berdepan banjir lebih 20 tahun lalu dan menjadikan pengalaman itu untuk sentiasa bersedia.
“Boleh dikatakan semua rumah akan dinaiki air. Jadi kami perlu membuat persediaan rapi terutama menyelamatkan barang berharga.
“Ini untuk mengelakkan saya daripada menanggung kerugian seperti tahun sebelum ini” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:58 AM


ISMAIL mencari ubi sebagai bekalan makanan musim banjir.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96750#sthash.v7qgZvuM.dpuf

No comments:

Post a Comment