Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nor Nekman Jaimon berkata, barangan tersebut dirampas daripada enam kiosk di pusat beli-belah berkenaan.
Menurutnya, operasi itu dijalankan pada pukul 11.45 pagi hingga 2.30 petang dengan 15 anggota penguat kuasa, hasil risikan dan pemantauan pihaknya selama sebulan.
“Dalam serbuan itu, pihak kami merampas sejumlah 1,750 jam tangan disyaki tiruan daripada jenama G-Shock, Casio, Baby-G dan Edifice yang dipercayai dibawa masuk melalui China.
“Hasil siasatan awal mendapati, jam tangan tersebut untuk diedarkan dalam pasaran di negeri ini seperti di pasar malam dan pasar borong,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan juga mendapati, barangan dengan jenama C hingga AAA dan ada yang turut mempunyai sijil itu dijual pada harga RM30 hingga RM300 mengikut gred dan pembungkusan.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah merakamkan percakapan peniaga kiosk terbabit dan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dalang serta pihak di belakang sindiket jual jam tiruan.