Bagaimanapun, masih tiada laporan kematian mahupun kece­deraan setakat ini.
Menurut pihak berkuasa, ribuan penduduk dan pelancong yang berada di kawasan tepi pantai dipindahkan, malah taufan turut memaksa penutupan pelabuhan, lapangan terbang serta sekolah di beberapa buah negeri.
Patricia muncul taufan terkuat pernah direkodkan beberapa jam sebelum sampai ke pantai, me­nimbulkan kebimbangan mungkin mengakibatkan kematian dan kemusnahan di seluruh negara.
Kira-kira lima jam selepas Patricia sampai ke daratan, Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto mengumumkan di televisyen, kemusnahan akibat taufan itu agak kecil jika dibandingkan dengan ramalan awal.
Beliau turut menasihatkan rakyat kekal berada di tempat perlin­dungan kerana Patricia masih memberi ancaman hujan lebat yang dijangka melanda seluruh pantai Pasifik serta kawasan tengah dan timur laut Mexico.
“Kita tidak boleh leka. Taufan ini masih membawa ancaman,’’ katanya.
Menurut pihak berkuasa Mexico, Patricia mendarat di bandar Cuixmala dan Emiliano Zapata, kira-kira 95 kilometer di barat pelabuhan Manzanillo, awal petang semalam.
Pusat Taufan Nasional AS memaklumkan, Patricia mencapai kelajuannya pada 325 kilometer sejam, lebih kuat daripada Taufan Haiyan di Filipina selaju 315 kilometer sejam yang mengakibatkan lebih 7,000 penduduk maut dan hilang dalam kejadian pada November 2013. – AFP