Ketua Polis Daerah, Superintenden Hamzah Alias berkata, suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan pada pagi Khamis lalu.
“Polis mengambil masa untuk menahan suspek kerana dia sering berpindah-randah untuk mengelak daripada ditangkap.
“Suspek sebelum ini tinggal menyewa berhampiran kediaman keluarga mangsa dekat pekan Bahau dan menyembunyikan diri apabila mengetahui polis mencarinya selepas mangsa melahirkan bayi.
“Dia ditahan reman bermula semalam sehingga Khamis depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di sini hari ini.
Jelasnya, walaupun bayi lelaki itu meninggal dunia lapan hari selepas dilahirkan akibat ‘inflamasi’ usus namun pihak polis tidak pernah berhenti untuk mengesan suspek.
Akhbar Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang budak darjah lima melahirkan bayi di sebuah klinik swasta dekat pekan Bahau apabila mengadu sakit perut pada 5 Ogos lalu.