Daily Mail melaporkan, Tom Roche, 24, yang ketika itu berpakai­an ala Spiderman dalam perjalanan ke sebuah parti hari jadi seorang kanak-kanak, bertembung dengan sepasang suami isteri bersama anak mereka sedang memandu dalam ke­adaan berbahaya.
Kereta yang dinaiki oleh pasa­ngan suami isteri tersebut, Stephen Grant dan Lucy Day dipercayai mengalami kebocoran tangki mi­nyak, tetapi tidak disedari keluarga itu kerana mereka sedang bergegas untuk menghantar Grant ke hospital akibat kecederaan di jari.
Grant dikatakan terputus jari ketika sedang memotong rumput menggunakan mesin pemotong rumput, memaksa isterinya Lucy yang sedang sarat mengandung memandu kereta tersebut dalam keadaan kecemasan.
Namun, Roche dan teman wa­nitanya menyedari kenderaan yang dinaiki Lucy dan keluar­ganya mengalami kebocoran tangki minyak dan asap tebal mula keluar dari bawah kereta itu.
Mereka kemudian berhenti di bahu jalan sebelum memberi isyarat kepada keluarga itu agar keluar dari kereta mereka.
Apabila Grant, Lucy dan anak kecilnya berusia tiga tahun itu keluar dari kenderaan berkenaan, tidak semena-mena api menyambar ke­reta itu lalu terbakar dan Roche yang berpakaian Spiderman ketika itu membantu menyelamatkan keluarga itu daripada disambar api.
Roche kemudian bergegas meng­hantar Grant dan isterinya ke hospital sebelum doktor di Hospital Besar Eastbourne menyambung kembali jari Grant yang putus.
Menurut Grant, kejadian yang berlaku sekelip mata itu seolah-olah mimpi ngeri dan Spiderman muncul membantu menyelamatkan mereka.
“Dia memang benar-benar superhero kerana telah menyelamatkan nyawa kami sekeluarga dan kami sangat terhutang budi de­ngannya,” kata Grant.
Sementara itu, Roche yang menceritakan kembali insiden tersebut berkata, dia panik dan cuma berharap dapat menyelamatkan keluarga itu.
“Semua yang berlaku seperti dalam filem. Apa yang saya tahu mereka berada dalam keadaan bahaya kerana kereta yang terbakar boleh meletup pada bila-bila masa sahaja.
“Saya hanya mampu menjerit dan meminta mereka berhentikan kereta mereka, nasib baik mereka faham isyarat yang saya berikan itu. Syukur, semuanya selamat,” ujarnya.