Turut dirampas dalam serbuan itu ialah dadah jenis syabu, kokain dan heroin seberat 16 kilogram (kg) bernilai RM5 juta yang disembunyikan di dalam kasut wanita dan beg tangan yang sudah diubah suai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, penahanan itu hasil maklumat dan risikan yang dijalankan oleh Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) baru-baru ini.
Menurut beliau, dalam serbuan pertama pada 8 September lalu, pihaknya telah menyerbu sebuah gudang di sekitar Jalan Pelabuhan Klang, Selangor kira-kira pukul 4.45 petang.
“Hasil serbuan tersebut, kita berjaya menemukan dadah seberat 10.3 (kg) yang disembunyikan dalam 26 pasang kasut wanita.
“Pada hari yang sama, kita jalankan satu lagi serbuan di Bandar Baru Bukit Puchong sebelum menahan dua lelaki warga Afrika,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Mokhtar memberitahu, dalam serbuan ke­dua yang dijalankan pada pukul 1 tengah hari sehingga 8 malam pada Rabu lalu, sebanyak tujuh serbuan telah dilakukan di sekitar Sentul dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur serta di Cyberjaya, Seri Kembangan, Sri Damansara, Klang dan Bukit Jelutong, Selangor.
Ujarnya, seramai 12 orang warga Afrika termasuk seorang wanita berjaya ditahan dan pelbagai jenis dadah yang disembunyikan di dalam sembilan pasang kasut wani­ta serta beg tangan yang diletakkan di dalam kotak perkhidmatan kurier dirampas.
“Kita percaya tangkapan terbaru ini adalah kumpulan sama yang ditahan dalam serbuan pertama. Mereka dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier untuk menyeludup dan mengedar dadah di negara ini.
“Kesemua bekalan dadah ini diperoleh sindiket ini daripada China sebelum dibawa masuk melalui jalan laut. Lebih membimbangkan, ahli sindiket ini sebahagiannya merupakan pelajar yang baharu sahaja aktif sejak beberapa bulan lalu,” jelasnya.
Mohd. Mokhtar menambah, ke­ semua yang ditahan berusia lingkungan 27 hingga 40 tahun kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 137,975 individu telah ditahan sejak awal tahun ini sehingga Rabu lalu.
“Hasil tangkapan tersebut, pelbagai jenis dadah dirampas dengan nilai anggaran sebanyak RM209.81 juta dalam tempoh sama,” tegasnya.