Khalid Abu Bakar
Sindiket penyeludupan itu difahamkan mempunyai kaitan dengan rangkaian serupa yang berpusat di Indonesia.
Malah migran Bangladesh yang masuk ke negara ini juga difahamkan diseludup masuk melalui laluan laut dari Dumai, Indonesia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan polis mendapati wujud kerjasama antara rangkaian penyeludupan manusia di Bangladesh dan Indonesia serta sindiket di negara ini yang berpangkalan di Selangor.
“Dalam tempoh 13 bulan sejak Ogos 2014 hingga September lalu, sejumlah 1,752 migran Bangladesh telah diseludup masuk ke Malaysia melalui rangkaian ini.
“Transaksi jenayah ini dikesan melibatkan jumlah pembayaran di antara RM20 juta hingga RM30 juta.
“Dengan tangkapan ini juga, PDRM berjaya melumpuhkan satu rangkaian penyeludupan manusia yang telah beroperasi sejak awal tahun lalu yang ahlinya mempunyai rantaian hubungan dengan rangkaian di Bangladesh dan Indonesia,” katanya dalam satu kenya­taan di sini.
Beliau memberitahu, antara 13 Ogos hingga 13 Oktober lalu, seramai 64 orang telah ditangkap dengan 13 daripada mereka merupakan warga tempatan yang bersekongkol menjadi penyeludup.
Katanya, lokasi tangkapan kesemua yang ditahan itu adalah di Negeri Sembilan dan Selangor.
“Seramai 13 daripada mereka adalah penyeludup tempatan, empat warga Bangladesh, seorang warga Indonesia dan 46 lagi adalah migran Bangladesh.
“Polis turut merampas empat kenderaan, wang tunai berjumlah RM23,100; 46 pasport Bangladesh; 55 telefon bimbit; rantai besi; sebatang rotan serta beberapa buku catatan,” ujarnya.
Jelasnya, tangkapan berkenaan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Atip-Som)
“Sebanyak 46 migran dan seorang penjaga telah dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 29 September lalu di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah dan dikenakan hukuman penjara enam bulan sebelum diusir.
“Selain itu, lapan lagi terma­suk enam rakyat tempatan telah dan akan dituduh di bawah Atip-Som 2007 atas pelbagai kesalahan manakala lapan lagi iaitu enam rakyat Malaysia, seorang Indonesia dan seorang Bangladesh telah dan akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan 2013) (POCA),” katanya yang turut menjelaskan, seorang lagi rakyat tempatan telah dibebaskan.