IZANY ABDUL GHANI
Terbaharu, polis ber­jaya menahan enam individu termasuk seorang wanita warga Afrika kerana terlibat dalam penipuan membabitkan anggaran kerugian sebanyak RM44,070 dalam dua serbuan berasingan sekitar ibu negara pada Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani mengesahkan perkara itu berkata, penahanan itu hasil maklumat dan risikan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut beliau, dalam serbuan pertama, polis telah menahan tiga warga Afrika termasuk seorang wanita di ibu negara.
“Mereka mengakui terlibat da­lam penipuan seorang warga Taiwan dengan mendakwa kononnya abang sepupu mangsa yang telah meninggal dunia di Ghana telah mewariskan harta kepadanya.
“Suspek kemudian meminta mangsa memasukkan sejumlah wang kononnya bagi menguruskan proses pemindahan harta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Izany memberi­tahu, pihaknya turut merampas beberapa peralatan yang digunakan kesemua suspek dalam penipuan tersebut seperti enam telefon bimbit pelbagai jenama, modem (tiga), komputer riba (dua) dan satu fail kertas kuning yang mengandungi dokumen permohonan perkhidmatan internet.
Mengulas lanjut, dalam serbuan kedua pula yang dijalankan di sini, seramai tiga lelaki warga Afrika berjaya ditahan.
“Kesemua mereka ditahan selepas dipercayai menipu seorang wanita tempatan menerusi laman sosial Facebook yang mendakwa kononnya salah seorang daripada suspek mahu mengirim barang dari United Kingdom (UK) kepada mangsa.
“Mangsa telah dihubungi oleh salah sebuah syarikat kurier yang memaklumkan barang mangsa sudah sampai namun wanita terbabit diminta membuat pembayaran menerusi tiga akaun berbeza untuk mendapatkan barangan tersebut,” ujarnya.
Izany menambah, kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut dan pihaknya kini masih memburu beberapa suspek lain yang dikatakan telah lari ke luar negara.