Laporan yang diperolehi pihak antarabangsa mendakwa, jumlah korban dalam insiden itu jauh lebih tinggi berbanding angka yang dikeluarkan Arab Saudi.
Arab Saudi hanya memberi angka kematian dalam insiden itu seramai 769 orang dan 934 lagi cedera.
Bagaimanapun, mengikut kiraan angka korban daripada sumber rasmi membabitkan 23 negara, lebih 990 maut dalam insiden itu, manakala 600 lagi jemaah dilaporkan hilang.
Namun, Riyadh sehingga kini masih belum mengeluarkan ang­ka rasmi jemaah yang hilang atau dikhuatiri terbunuh.
Percanggahan maklumat yang timbul itu masih tidak jelas sehingga kini dan pihak berkuasa Arab Saudi tidak dapat memberi maklum balas segera berhubung dakwaan tersebut.
Setakat ini, Iran berada dalam senarai teratas daripada segi jumlah jemaahnya yang terkorban dalam insiden itu sebanyak 239 orang.
Bagaimanapun, kerajaan Iran menjelaskan angka sebenar jemaahnya yang terkorban mencecah 464 orang apabila mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang disahkan meninggal dunia.
Selain Iran, Mesir berada di tempat kedua dengan 75 maut dan 95 hilang, Nigeria berada di tangga kedua dengan 64 jemaahnya terbunuh dan 244 lagi hilang; manakala Mali merekodkan 60 kematian dan Pakistan 46 maut dan lebih 40 hilang. – AFP