Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Lans Koperal Mohd. Khairuddin Abdul Razak, 32, yang bertugas di bahagian MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut cedera di dahi dan belakang kepala.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, kejadian bermula apabila pihaknya menerima panggilan pada pukul 4 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan telah diganggu seorang lelaki di rumahnya di Lebuh Nipah 3, Sungai Nibong.
Beliau berkata, anggota polis yang dihantar ke tempat kejadian ternampak sebuah kereta disyaki dinaiki suspek berusia 27 tahun dan membuat pemeriksaan tetapi suspek terus memecut serta cuba melanggar anggota polis berkenaan.
“Anggota polis itu menghubungi bilik gerakan IPD Timur Laut untuk mendapatkan bantuan bagi memberkas suspek dan sebuah kereta peronda bersama dua anggota telah dihantar ke tempat kejadian.
“Anggota polis tersebut cuba menghalang kereta suspek dan keluar dari kenderaan serta memberi isyarat supaya lelaki itu memberhentikan keretanya untuk diperiksa,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Mior Faridalatrash, lelaki itu terus memecut hingga merempuh anggota polis berkenaan dan melanggar kereta peronda kereta peronda sehingga rosak di bahagian pintu kiri.
Menurutnya, lelaki terbabit berjaya meloloskan diri bersama keretanya.
Katanya, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai bersama suspek di tempat kejadian telah ditahan dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan sementara suspek yang telah dikenal pasti identitinya sedang diburu .
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki itu dan kereta jenis Proton Wira warna merah gelap yang bernombor pendaftaran MBA 2688 supaya menghubungi pihaknya di talian 04-2181801 atau mana-mana balai polis berhampiran.