Muhammad berkata, penipuan itu berlaku apabila keluarganya merancang bercuti di Gambang dan mencari inap desa di sekitar kawasan itu menerusi internet.
“Saya berhubung dengan seseorang yang mengatakan dirinya pengusaha inap desa di situ dan meminta membayar wang pendahuluan. Pada 12 Oktober lalu, saya memasukkan wang sebanyak RM140 secara dalam talian melalui akaun Maybank2u kepadanya.
“Pengusaha inap desa itu kemudian memaklumkan kepada saya inap desa tersebut tidak dapat disediakan dise­babkan masalah tidak dapat dielakkan dan berjanji memulangkan wang pendahuluan.
“Namun, sehingga petang semalam pengusaha inap desa itu tidak menjawab panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Saya berasa tertipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Gambang semalam,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Muhammad, laporan polis itu dibuat kerana tidak mahu orang lain menjadi mangsa penipuan inap desa palsu terbabit selain berasakan perbuatan sedemikian boleh memburukkan industri atau perniagaan inap desa di kawasan berkenaan.
Di samping itu, katanya, beliau mahu pihak berkuasa bertindak kerana bimbang kegiatan tersebut merebak dan boleh menjadi sindiket penipuan komersial.
“Bukan soal wang pendahuluan yang saya risaukan tetapi saya bimbang orang lain akan menjadi mangsa penipuan inap desa palsu terbabit,” katanya.
Beliau juga berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan memantau kegiatan sedemikian kerana boleh menjejaskan pelancongan dalam negara.