Dalam kejadian pukul 6 petang, kedua-dua lelaki itu yang berusia lingkungan 30-an sebelum itu dilihat berlegar-legar di luar rumah berkenaan dengan membawa periuk besar.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, kira-kira 20 penduduk kampung kemudian mengintip dan mengepung rumah itu sebelum menyerbu semasa kedua-dua mereka berada dalam rumah.
“Kedua-dua lelaki itu tidak sempat melarikan lari. Akibat panik, seorang suspek memberi alasan mahu mencari biawak. Jawapan itu tidak memuaskan hati kerana semasa diperiksa terdapat kesan yang mencurigakan.
“Kita dapati pagar di tepi rumah dipotong, bekalan elektrik dimatikan, beberapa alat pendingin hawa dan barang lain termasuk periuk besar dalam rumah hilang,” katanya ditemui hari ini.
Menurutnya, penduduk yang berang bertindak memukul kedua-dua suspek sebelum mengikat dan memaklumkan perkara tersebut kepada polis.
Dia berkata, pada awalnya kedua-dua suspek merayu supaya penduduk terbabit melepaskan mereka dan menyelesaikan perkara itu dengan cara baik tetapi tidak dipedulikan.
“Sebelum ini beberapa kejadian sama berlaku di rumah tidak berpenghuni di kampung ini. Sejak itu penduduk sentiasa berwaspada dengan individu tidak dikenali dan mencurigakan di kampung ini,” ujarnya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Salleh Abd. Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek kini ditahan direman untuk membantu siasatan.