Mayat, Afham Maarat, 27, ber­asal dari Kampung Meranek, Kota Samarahan ditemukan majikannya yang pergi ke rumah yang sedang dalam proses ubah suai oleh mangsa kira-kira pada pukul 9.30 malam.
Ketua Polis daerah, Superintenden Ng Ah Lek berkata, mang­sa yang baru menimang seorang cahaya mata baru-baru ini tidak dapat dihubungi oleh majikannya beberapa jam sebelum mayatnya ditemukan.
Menurutnya, bimbang dengan keselamatan mangsa, majikannya bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat pekerjanya dalam keadaan meniarap dan berlumuran darah.
“Terkejut melihat keadaan mang­sa, majikannya kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal mendapati terdapat kesan luka di leher dan tangan mangsa dipercayai dikelar dengan menggunakan senjata tajam,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ah Lek membe­ritahu, mangsa dikatakan baru dua bulan bekerja dan tinggal seorang diri di situ (rumah tempat kejadian).
Jelasnya, mangsa dikatakan dilihat kali terakhir di sebuah surau berhampiran pada pukul 4 petang sebelum balik ke tempat kerja.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan motif kejadian masih dalam siasatan.
“Buat masa ini, polis giat memburu suspek yang masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.