WARTAWAN Kosmo!, Ahmad Isyafiq Md. Desa menunjukkan bumbung siling pecah dipercayai dilakukan pencuri untuk masuk pejabat Kosmo! dan UMES di Johor Bahru, semalam. Utusan/MOHD. HAZROL ZAINAL
Pencuri yang dipercayai lebih daripada seorang itu melarikan wang tunai dan barangan termasuk dua komputer riba.
Kejadian kali ketiga menimpa pejabat Utusan Melayu (M) Berhad Biro Johor disedari oleh wartawan Kosmo!, Mohd. Izuan Roseli, 25, yang baharu pulang membuat liputan tugasan malam kira-kira pukul 2.30 pagi.
Mohd. Izuan berkata, dalam kejadian itu, dua komputer riba bernilai RM5,000 dan tembaga dalam wayar pendingin hawa dilarikan pencuri setelah mengumpil tingkap bahagian belakang bangunan berkenaan.
“Saya pulang ke pejabat untuk mengambil komputer riba yang disimpan di pejabat selepas selesai tugasan malam. Setiba di pejabat, saya terkejut kerana mendapati keadaan pejabat yang berselerak dan tingkap terbuka.
“Saya kemudiannya memeriksa ruang pejabat dan mendapati dua komputer riba hilang, Selepas itu saya segera membuat laporan polis di Balai Polis Sentral,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Eksekutif Pemasaran UMES, Zakhirudin Ehwan memaklumkan, sejumlah wang tunai hilang dan siling pejabat turut dipecahkan pencuri untuk masuk ke pejabat mereka yang bersebelahan dengan Kosmo!.
Turut dilaporkan hilang ialah 12 berkas (bundle) yang mengandungi kira-kira 900 naskhah akhbar Mingguan Malaysia untuk jualan hari ini.