Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdul Razak Md. Din berkata, maklumat itu diperoleh hasil beberapa tangkapan baru-baru ini berikutan kawalan ketat yang dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan-kawasan hutan.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah terkini tangkapan PATI yang terlibat.
“Golongan PATI sentiasa bertukar-tukar modus operandi dan ada juga yang cuba menyamar sebagai warga asing yang biasa berurusan di sempadan seperti peniaga,” kata­nya ketika ditemui dalam program membuat bubur asyura di Balai Polis Beseri, di sini semalam.
Program anjuran Majlis Kerjasama Rakyat Malaysia (MKRM) itu dirasmikan oleh isteri Menteri Besar, Datin Seri Noraswana Omar dan sebanyak tiga buah kawah bubur dimasak dan diagihkan kepada rumah anak yatim serta warga emas.
Dalam pada itu, Abdul Razak memberitahu, indeks jenayah di daerah tersebut menurun sebanyak 41 kes atau 32 peratus iaitu sejak awal Januari lalu sehingga kini berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
“Kes direkodkan sejak Januari sehingga kini adalah curi motosikal sebanyak 30 kes, pecah rumah malam hari (14 kes), pecah rumah siang hari dan jenayah jalanan, masing-masing tiga kes selain samun tanpa senjata (dua kes),” katanya.