Search This Blog

Monday, October 26, 2015

Mayat 4 kanak-kanak Orang Asli dikebumikan bersebelahan


Oleh Ramli Ibrahim 


ORANG ramai menunggu untuk empat keranda mayat mangsa Orang Asli yang hilang lebih sebulan dikebumikan di Kampung Penad, Gua Musang. - Foto ihsan RELA Gua Musang
GUA MUSANG: Empat mayat, termasuk dua rangka murid Orang Asli yang ditemui di Sungai Perias selepas dilaporkan hilang sejak 23 Ogos lalu, dikebumikan di Kampung Penad, Pos Tohoi, dekat sini, petang tadi.
Terdahulu, mayat mangsa dituntut keluarga di Hospital Gua Musang (HGM) kira-kira jam 10 pagi sebelum dibawa menaiki empat kenderaan pacuan empat roda (4WD) ke kampung berkenaan.
Semua mangsa dikebumikan bersebelahan antara satu sama lain kira-kira jam 2 petang.
Identiti mangsa yang disahkan menerusi keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ialah Linda Rosli, 8; Haikal Yaakob, 8; Ika Ayel, 9 dan Juvina David, 7.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan rumah mayat HGM ketika waris menuntut mayat, berikutan sudah lama menunggu untuk menyempurnakan jasad anak mereka.
Turut berada di tempat menuntut mayat dan mengiringi ke kubur ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Nisra Nisran Ramlan dan Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Nik Man Nik Ya.
Midah Angah, 40, ibu kepada Noreen Yaakob, 10, kanak-kanak yang ditemui selamat dalam hutan Pos Tohoi bersama rakannya, Mirsudiar Aluj, 11, bergegas ke HGM untuk menuntut mayat anaknya, Haikal, selepas dimaklumkan menerusi ujian DNA.
"Saya tidak sangka antara rangka yang ditemui adalah anak sendiri," katanya yang meninggalkan sementara Noreen yang masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu bagi menyempurnakan urusan pengebumian Haikal.
Sementara itu, Ayel Ajid, 46, reda dengan pemergian Ika.
"Rasa sedih tetap ada walaupun semuanya sudah disempurnakan," katanya.
Bapa Juvina, David Muasam, 32, berkata semua mangsa adalah rakan karib dan tinggal sekampung,
Mengakui lebih tenang selepas menuntut jasad anaknya, beliau tetap sedih mengenangkan nasib Juvina.
"Hampir setiap malam kami tidak lena tidur teringatkan Juvina, tetapi kini semuanya sudah berakhir. Kami terima apa yang berlaku dan mengambil iktibar untuk mengawasi anak lain," katanya.
Bapa Linda, Rosli Aik, 31, berkata keluarganya lega kerana semuanya kini sudah berakhir.
"Kami merancang sejak awal untuk mengebumikan mereka di Kampung Penad," katanya.
ANGGOTA RELA bersama penduduk kampung mengusung mayat empat Orang Asli yang hilang lebih sebulan untuk dikebumikan di Kampung Penad, Gua Musang. - Foto ihsan RELA Gua Musang
ANGGOTA RELA bersama penduduk kampung mengusung mayat empat Orang Asli yang hilang lebih sebulan untuk dikebumikan di Kampung Penad, Gua Musang. - Foto ihsan RELA Gua Musang

No comments:

Post a Comment