WARTAWAN SINAR HARIAN
Kemalangan
BERA - Seorang wanita warga emas maut dirempuh motosikal ketika menyeberang jalan di Kilometer 31 Jalan Temerloh/Bahau kira-kira jam 8.30 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku semasa mangsa secara tiba-tiba melintas jalan ketika seorang penunggang motosikal melalui jalan itu dari arah Triang ke Kerayong.
Menurutnya, semasa kejadian itu, mangsa, Long Chwee Kim, 80-an cedera parah di bahagian kepala dan tangan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Triang.
“Berdasarkan siasatan awal, penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa menyebabkannya cedera parah di bahagian kepala dan tangan. Mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di klinik itu,” katanya.
Mohd Rosdi berkata, mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat.
Katanya, pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu.
No comments:
Post a Comment