Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 10.05 malam itu, mangsa, Ayoob Sudin, 56, melecur 60 peratus di bahagian badannya setelah disambar api daripada kain bercampur petrol yang dilontarkan seorang lelaki tidak dikenali ketika menggunakan tandas aras bawah pusat beli-belah berkenaan.
Mangsa kemudiannya dibantu orang awam yang memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, mangsa yang dirawat di HPP kini tidak sedarkan diri akibat melecur di bahagian kepala, badan dan kaki serta dirawat di zon merah hospital berkenaan.
Katanya, daripada maklumat awal, mangsa sebelum ini memaklumkan tidak mengetahui mengapa menjadi sasaran dan punca kejadian itu.
“Mangsa juga memberitahu dia tidak melihat kelibat individu yang terlibat dalam kejadian itu kerana ketika kejadian, dia berada di dalam tandas yang pintunya ditutup.
"Namun, melalui penelitian ter­hadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati, terdapat seorang lelaki memasuki tandas di pusat beli-belah berkenaan tiga minit lebih awal daripada mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Mior Faridalatrash, rakaman CCTV juga menunjukkan lelaki berkenaan meninggalkan tandas terbabit sebaik sahaja mangsa berlari keluar bagi mendapatkan bantuan selepas badannya terbakar.
"Lelaki yang juga suspek ini ketika keluar dari tandas terbabit dilihat memakai topi keledar dan membawa sebuah beg dipercayai milik mangsa.
"Siasatan lanjut sedang dijalakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," ujarnya.