Search This Blog

Saturday, October 3, 2015

Kedai jual vape terbakar


SITI SAFA MOHD NOR
Kedai jual vape terbakar

3 OKTOBER 2015
Kedai jual vape terbakar Amir Fazreen menunjukkan tin gas isian semula yang dipercayai meletup dan mengakibatkan kebakaran kecil di kedai vape miliknya, pagi semalam.

SERI MANJUNG - “Saya terkejut apabila dengar dua letupan sebelum melihat kepulan asap keluar dari pintu kedai bersebelahan," demikian cerita saksi kejadian letupan tin gas isian semula di sebuah kedai menjual vape, pagi semalam.

Saksi, dikenali sebagai Umi, 37, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.55 pagi itu, dia sedang bersiap-siap membuka kedai jahitnya bersebelahan premis terbabit.

"Letupan pertama agak perlahan dan kedua kuat hingga dinding saya bergegar sekejap.

"Apa lagi, saya terus keluar dan lihat ada kepulan asap keluar dari pintu kedai jual vape," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai berkenaan,  Amir Fazreen Shamsul Bahari, 28, berkata, ketika kejadian tidak ada sesiapa dalam kedai

"Saya tahu insiden ini pun daripada jiran kedai sebelah... mujur kebakaran sikit saja.

"Syukur sangat sebab tiada kemusnahan teruk dalam kejadian ini dan kerugian dianggarkan kira-kira RM3,000," katanya.

Difahamkan, letupan itu disyaki berlaku apabila dua tin isian semula gas meletup dipercayai kesan percikan api penyambung plug elektrik.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Ismail Othman berkata, seramai 15 anggota bersama dua jentera dengan bantuan pasukan bomba Setiawan ditugaskan ke lokasi kejadian.

“Kami menerima panggilan kira-kira jam 9.15 pagi dan setibanya di tempat kejadian mendapati kepulan asap keluar dari premis terbabit.

“Pasukan bomba terpaksa memecahkan pintu premis kerana berkunci untuk memadam kebakaran yang membabitkan perkakas dalam kedai termasuk meja kaunter, sofa serta sebuah penghawa dingin.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih disiasat,” katanya.

No comments:

Post a Comment