Search This Blog

Saturday, October 3, 2015

Kandas tepi sungai

 Oleh Ramli Ibrahim

am@hmetro.com.my
Gua Musang: “Saya sedar kejadian apabila melihat banyak kenderaan terkandas dan tidak dapat menyeberangi jambatan,” kata Che Mud Ab Ghani, selepas jambatan sementara Kampung Pulau Setelu, di sini, ditutup akibat ditenggelami air sejak semalam.


Jambatan menghubungkan lebih 600 penduduk yang mahu ke Gua Musang dan Jeli itu ditenggelami air Sungai Nenggiri selepas hujan lebat berterusan sejak malam kelmarin.

Che Mud, 59, berkata, jam 10 malam kelmarin, masih ada pengguna menggunakan laluan itu selepas air sungai surut, namun tidak menyedari mendapan di tebing sungai.

“Pada jam 7 pagi tadi (semalam) ada kenderaan terkandas. Mulanya saya ingat air sungai naik lagi, namun masalah lebih besar pula iaitu mendapan.

“Kebanyakan pengguna berpatah balik dan melalui Jalan Dabong-Sungai Sam untuk ke Gua Musang. Jalan itu juga boleh menghubungkan Jalan Gua Musang-Kuala Krai,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Zamri Sulaiman, 48, berkata, jambatan sementara dibina pada Mei lalu semakin berbahaya untuk dilalui kerana sisa kayu balak tersangkut di tengahnya selain mendapan di tebing sungai.

Katanya, jambatan bergoyang kuat apabila dilalui kenderaan disebabkan air sungai tidak dapat mengalir dengan sempurna kerana sekatan sisa kayu balak.

“Tidak mustahil jika sisa kayu balak ini tidak dibersihkan dan mendapan tidak ditangani segera, ia roboh seperti mana jambatan asal yang musnah ketika banjir Disember lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, polis tidak menggalakkan orang ramai menggunakan jambatan sementara berikutan mendapan itu.

Katanya, anggotanya masih ditempatkan di kawasan itu untuk memantau keadaan dan bertindak sekiranya keadaan semakin buruk.

“Kami tutup laluan ini untuk keselamatan semua, namun jika ada yang mahu menyeberanginya, itu atas risiko sendiri,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani ketika dihubungi berkata, beliau maklum mengenai perkara itu dan akan melaporkannya kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) untuk tindakan lanjut.

Jambatan sementara itu dibina dengan kos RM600,000 untuk kegunaan penduduk sebelum jambatan konkrit yang lebih kukuh dibina dengan kos RM40 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 5:51 AM

ANGGOTA pasukan penyelamat melihat mendapan yang berlaku di jambatan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/82076#sthash.dyzJ8H5f.dpuf

No comments:

Post a Comment