Search This Blog

Monday, October 26, 2015

Jual rokok seludup hilang lesen niaga!

Oleh Muhd Izawan Baharin

izawan@hmetro.com.my
Sandakan: Susulan langkah tegas Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk menarik balik lesen dan menyenaraihitamkan peniaga yang menjual rokok dan arak seludup, satu operasi dilaksanakan di Jalan Batu Sapi, Kampung Sundang, di sini, baru-baru ini.


Dalam operasi berdasarkan maklumat orang ramai itu, penguat kuasa MPS merampas 240 kotak rokok seludup berjenama Astro dan Gudang Garam.

Mengulangi tekadnya, Presiden MPS Datuk James Wong berkata, pihaknya akan menghantar ‘mesej’ yang keras terhadap peniaga yang masih berdegil menjual barangan seludup bahawa operasi akan dijalankan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, peniaga yang didapati bersalah menjual barangan seludup tidak lagi sekadar didenda, malah tindakan lebih tegas iaitu lesen ditarik balik dan nama disenaraihitamkan akan dilaksanakan.

Dalam operasi berasingan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah turut menjalankan tindakan penguatkuasaan menerusi Op Outlet 2.0 di Jalan Labuk dan Jalan Labuk Lama.

Menerusi operasi itu, pihak berkuasa mereman dua lelaki untuk tindakan lanjut selepas pemeriksaan menemui pelbagai jenama rokok seludup antaranya Absolute, LA, Era dan Astro disorok di belakang barangan runcit.

Sehubungan itu, JKDM menasihatkan peniaga di seluruh negara supaya mengelak daripada menjual rokok seludup sebagai cara mendapat keuntungan mudah kerana ia tidak berbaloi jika dibandingkan dengan hukuman berat yang menanti mereka termasuk penjara.

Peniaga diingatkan supaya tidak memandang ringan amaran pihak berkuasa disebabkan kebanyakan maklumat diperoleh daripada aduan orang awam dan operasi dilaksanakan tanpa mengira masa.

Perokok juga diingatkan supaya berfikir banyak kali sebelum membeli rokok seludup seperti John, Canyon, LA, D&J dan Luffman kerana kandungan nikotin serta tar yang lebih banyak daripada rokok biasa.

Rokok seludup walaupun murah, namun memberi kesan lebih buruk terhadap kesihatan kerana kandungannya dicurigai.

Dalam jangka masa panjang risiko dihadapi mereka terutama kesihatan sebenarnya lebih besar dan bahaya.

Justeru, amat penting bagi semua rakyat Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab untuk melaporkan sebarang kegiatan penjualan rokok atau arak seludup di kawasan mereka kepada pihak berkuasa bagi membantu menangani masalah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 9:12 AM

PENGUAT kuasa merampas beberapa kotak rokok seludup dalam serbuan di Kampung Sundang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/88234#sthash.M9Xr8oD5.dpuf

No comments:

Post a Comment