Search This Blog

Monday, October 26, 2015

Enam remaja rosakkan 11 kereta


WARTAWAN SINAR HARIAN
Enam remaja rosakkan 11 kereta

26 OKTOBER 2015
Enam remaja rosakkan 11 kereta Salah sebuah kereta dari 11 kenderaan yang menjadi sasaran enam susupek mabuk dalam kejadian berkenaan.

RAUB - Pengerusi Jawatankuasa Taman Mutiara 1 tidak menyangka bunyi bising sekumpulan lelaki pada sekitar jam 4 pagi kelmarin mengakibatkan anaknya kerugian kira-kira RM3,500.

Pengerusi terbabit, Abdul Rahim berkata, sekumpulan lelaki terbabit bertindak memecahkan cermin kereta milik anaknya tanpa sebab.

Katanya, dia dan isteri menyedari kejadian terbabit ketika bangun hendak menunaikan solat tahajud.

“Sebaik keluar melihat keadaan, kami terkejut kerana cermin kereta anak saya retak di bahagian hadapan seperti diketuk sesuatu. Rupa-rupanya, bukan kereta anak saya sahaja, malah empat kereta lain yang diletakkan tepi jalan di taman perumahan ini turut terkena,” katanya.

Rahim kemudiannya bertindak membuat laporan polis awal pagi kelmarin. Dalam masa sama, Kereta milik Ketua Kampung Kampung Melayu Sungai Lui, Azman Mustafa turut terkena perbuatan khianat terbabit.

“Saya hendak keluar rumah dalam jam 7 pagi. Ketika hendak menggunakan kereta, saya terkejut melihatkan cermin bahagian belakang kereta saya ini telah retak. Saya juga dapati terdapat sebiji batu bata di tepi kereta saya yang diletakkan di dalam garaj tepi jalan hadapan rumah saya ini,” katanya.

Azman bagaimanapun tidak mengesyaki sesiapa, sebaliknya terus membuat laporan polis berkaitan kejadian terbabit.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan kejadian terbabit. Hasil siasatan mendapati kira-kira 11 kereta pelbagai jenis turut dilaporkan mengalami masalah sama.

Menurutnya, kejadian berlaku di enam kawasan iaitu di Taman Sentosa, Taman Mutiara 1 dan 2, Kampung Melayu Sungai Lui, tepi pasaraya Tunas Manja dan Kampung Baru Bukit Koman.

“Jenis-jenis kenderaan yang dipecahkan cermin adalah Perodua Alza, Proton Wira, Proton Iswara, Perodua kancil, Perodua Myvi, Toyota Avanza dan Mazda.

”Hasil siasatan tempat kejadian mendapati kebanyakan kereta itu diletakkan di tepi jalan dan kejadian dianggarkan berlaku sekitar jam 12.00 tengah malam hingga 6.00 pagi,” katanya.
Tambahnya, suspek dipercayai menggunakan batu bata untuk memecahkan cermin kereta-kereta tersebut.

“Bagaimanapun, tiada barang berharga yang hilang dalam kejadian ini selain tiada saksi yang nampak kejadian dengan jelas di samping tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Katanya, bertindak atas maklumat dari detektif, pihak polis berjaya menangkap enam lelaki berusia lingkungan 14 hingga 18 tahun bersangkut dengan kejadian ini.

“Kesemua suspek mengaku terlibat dengan semua kejadian ini. Hasil soal siasat yang dijalankan, sebab-sebab suspek melakukan perbuatan ini adalah kerana pada masa itu mereka semua di bawah pengaruh alkohol dan suka-suka melakukan perbuatan tersebut,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek tidak lagi bersekolah dan hasil ujian air kencing kesemuanya negatif dadah.

Katanya lagi, kesemua suspek di reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini.

No comments:

Post a Comment