Search This Blog

Saturday, October 3, 2015

Dua pelajar diberkas ragut wanita


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 OKTOBER 2015

KUANTAN - Dua remaja bawah umur yang masih belajar diberkas kerana disyaki terlibat dalam satu kejadian ragut membabitkan mangsa seorang seorang wanita di hadapan sebuah premis makanan segera di Sungai Isap di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 22 tahun bukan sahaja kehilangan beg tangannya malah turun mengalami kecederaan selepas terjatuh akibat diragut suspek yang menaiki sebuah motosikal.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan diketuai Asisten Superintendan  Mohd Nayan Mokhtar bertindak menyerbu sebuah rumah di Taman Seri Damai Perdana di sini kira-kira jam 12 tengahari kelmarin sebelum berjaya menahan seorang suspek berusia 15 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, suspek yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di sini mengaku terlibat dalam kejadian itu bersama seorang lagi rakan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dan rampasan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135  bersama satu topi keledar yang digunakan ketika kejadian.

“Hasil soal siasat ke atas remaja itu, polis berjaya menemui beg milik mangsa yang dicampakkan dalam sebuah semak selepas ditunjukkan suspek.

“Suspek turut mengaku menggunakan wang milik mangsa manakala bakinya berjumlah RM64 diserahkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, berdasarkan maklumat didedahkan suspek itu, polis bertindak menyerbu sebuah rumah di Kampung Kurnia Batu 3 di sini sebelum menahan seorang remaja berusia 17 tahun yang disyaki turut terlibat.

“Hasil soal siasat terhadap remaja yang masih belajar itu, dia mengaku terlibat dan menyerahkan topi keledar yang dipakai semasa kejadian.

“Kedua-dua suspek dibawa ke balai untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

 Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz meminta ibu bapa dan penjaga supaya memantau aktiviti harian anak-anak supaya mereka tidak terlibat dalam sebarang salah laku termasuk jenayah dan penyalahgunaan dadah.

 “Semua pihak termasuk pihak sekolah juga perlu memainkan peranan dalam memastikan golongan remaja terutama yang agak bermasalah mendapat bimbingan sewajarnya supaya mereka tidak mudah terpengaruh atau dipergunakan pihak tertentu bagi tujuan jenayah,” katanya.

No comments:

Post a Comment