Search This Blog

Monday, October 26, 2015

Bekas pengurus kanan jualan didenda RM14,000 palsukan invois


26/10/2015 2:58pm

JOHOR BAHRU - Seorang bekas pengurus kanan jualan Sibu Island Resort dijatuhi hukuman denda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memalsukan dua invois proforma bagi membuat tuntutan kepada pelanggan resort berkenaan, tahun lepas.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhi hukuman denda RM7,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Shazil Fuad Ibrahim, 34, atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda setiap pertuduhan itu serta mengarahkannya membayar kos pendakwaan RM250, bagi setiap pertuduhan terbabit.
Bagi tuduhan pertama, Mohd Shazil Fuad didakwa memalsukan invois proforma bertarikh 21 Mac 2014 berjumlah RM43,010 di Sibu Island Resort, Mersing antara 22 dan 24 Mac 2014.
Ia dibuat dengan niat hendak menyebabkan wakil Persatuan Kelab Jet Ski Johor, Rosli Ghazali @ Md Sahad melepaskan wang tunai RM43,010 yang menunjukkan jumlah bayaran ke atas persatuan itu bagi menjalankan program ekspedisi kerja amal di resort berkenaan, dan dengan niat hendak melakukan penipuan bahawa dokumen invois proforma yang sama diterima oleh Bahagian Kewangan Sibu Island Resort, sedangkan nilai asalnya berjumlah RM35,230.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa memalsukan invois proforma bertarikh 27 Mac 2014 berjumlah RM119,200 di Pejabat Sibu Island Resort Sdn Bhd, di Jalan Abdullah Ibrahim, di sini, antara 23 dan 27 Mac 2014. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm#ixzz3pf3qYZIQ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment