Operasi yang bermula pada pukul 4.45 petang itu membabitkan serbuan serentak di empat kawasan iaitu pekan Kuala Selangor, Tanjung Karang, Jeram dan Bestari Jaya.
Komander STAGG Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, pihaknya menyasarkan lebih 27 premis judi di empat kawasan itu namun berjaya menyerbu 21 premis kerana enam lagi tutup.
“Hasil maklumat awam dan risikan dipercayai operator yang mengendalikan premis yang ditutup itu bergerak di luar premis.
“Kita percaya mereka mengendalikan urusan judi di luar premis dan bergerak menggunakan motosikal untuk berurus niaga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Khairi, berdasarkan risikan STAGG dan maklumat awam, kesemua premis yang diserbu dipercayai menjalankan aktiviti haram tersebut sejak enam bulan lalu.
“Seramai 24 orang operator dan pemilik premis iaitu 15 lelaki dan sembilan wanita ditahan bersama empat pelanggan terdiri daripada dua lelaki Bangladesh dan masing-masing seorang lelaki Melayu dan India,” ujarnya.
Dalam serbuan itu juga, ujar Khairi, pihaknya merampas beberapa peralatan dan dokumen berkaitan seperti telefon bimbit, pencetak mudah alih, slip kertas bertulis angka, gulungan kertas resit, buku catatan serta wang tunai hampir RM10,864.
“Hasil rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis daerah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4A (a) Akta Judi Rumah Terbuka 1953.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA),” katanya.