Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Tanjung Sedili, Kapten Amran Daud berkata, kedua-dua kapal berkenaan ditahan bot peronda agensi berkenaan pukul 12.28 tengah hari kira-kira 3.9 kilometer dari tenggara Tanjung Ayam.
“Sewaktu ditahan, kapal MT Chelsea II yang berdaftar di Singapura sedang memindahkan 45.543 tan minyak ke kapal MV Lu Rong Yuan Yu 978 berdaftar di Shidao, China.
“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka gagal mengemukakan permit dan dokumen berkaitan pemindahan minyak yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Amran, kapal MT Chelsea II membawa lapan kru warganegara Indonesia, Myanmar dan Singapura manakala kapal MV Lu Rong Yuan Yu 978 membawa 17 kru warganegara China, kesemua mereka berusia antara 35 hingga 54 tahun.
Ujarnya, tiga kru kapal MT Chelsea II dan dua kru kapal MV Lu Rong Yuan Yu 978 dibawa ke Pejabat Maritim Daerah Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(k) dan Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran dan berlabuh secara haram tanpa memaklumkan kepada pengarah Jabatan Laut serta Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953 kerana gagal membayar dius api,” katanya.
Tambah Amran, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di perairan negara bagi memastikan undang-undang maritim dipatuhi.