KEADAAN salah satu cermin sebuah kereta yang dipecahkan akibat perbuatan vandalisme oleh sekumpulan remaja di Raub, Pahang, semalam.
Kejadian antara pukul 1 pagi hingga 6 pagi itu melibatkan penduduk sekitar Taman Sentosa, Taman Mutiara, Kampung Melayu Sungai Lui, Kampung Baru Bukit Koman dan sekitar Pasar Raya Tunas Manja Raub.
Seorang mangsa, Azman Mustafa, 55, berkata, dia hanya menye­dari kejadian berkenaan kira-kira pukul 8 pagi ini selepas melihat cermin belakang keretanya yang dile- takkan di hadapan rumah retak.
“Pemeriksaan lanjut menemukan seketul bata berhampiran kereta. Saya kemudiannya membuat laporan polis dan terperanjat apabila mendapat tahu banyak lagi cermin kereta milik penduduk lain dipecahkan,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, susulan laporan polis yang diterima, pihaknya menahan enam remaja lelaki berusia 14 hingga 18 tahun.
Menurutnya, hasil soal siasat terhadap kesemua remaja yang tidak bersekolah itu, mereka mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dengan mendakwa berada dalam pengaruh alkohol dan sekadar suka-suka.
“Lima suspek yang berasal dari Raub dan seorang lagi dari Selangor direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Ke­seksaan kerana perbuatan khianat,” katanya.