Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, dalam kejadian pukul 2 petang pada 14 September lalu, mangsa yang berusia 47 tahun bertemu seorang lelaki di dalam sebuah kereta bagi menandatangani dokumen pinjaman wang.
Katanya, tiba-tiba dia didatangi dua lelaki yang bertindak menutup matanya dengan kain dan mangsa dibawa ke sebuah rumah teres yang disewa salah seorang suspek di Taman Sri Tebrau di sini.
“Mangsa dilempang dan dipukul dengan penyapu oleh seorang lelaki dan perempuan. Telefon bimbit mangsa dirampas dan mangsa ditelanjangkan serta diugut gambar bogelnya akan dimuat naik di laman sosial.
“Bagaimanapun, mangsa dilepas­kan selepas berjanji akan melunas hutang berkenaan dalam kadar segera dan membuat laporan polis sehari selepas itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sulaiman berkata, mangsa membuat pinjaman wang sejumlah RM2,000 daripada ah long pada 2012 dan terpaksa membayar balik pinjaman termasuk bunga sebanyak RM7,000.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah menangkap empat individu berusia 17 hingga 32 tahun di sebuah pejabat peminjam wang berlesen di Jalan Tebrau.
“Siasatan awal mendapati kese­mua suspek yang ditahan mengaku berada di tempat kejadian dan seorang daripadanya mengaku membawa lari mangsa dari tempat kejadian.
“Kita akan meneruskan usaha me­ngesan rakan jenayah yang ma­sih bebas,” katanya kes disiasat me­ngikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa bersenjata api.