Search This Blog

Thursday, September 3, 2015

Thailand yakin dalang serangan dapat dijejaki


AP - Thawornsiri menunjukkan gambar salah seorang daripada tiga kes pengeboman pada satu sidang media di Bangkok kelmarin.


BANGKOK – Polis Thailand kelmarin mendakwa terdapat kemajuan yang ketara dalam usaha menjejak dalang serangan bom di Bangkok selepas seorang lelaki yang ditahan mengaku berada dekat dengan letupan kuil pada 17 Ogos lalu manakala kesan cap jari telah menguatkan dakwaan dia sebagai pengebom disyaki.
Lelaki yang belum dikenal pasti itu ditahan kurang satu kilometer daripada sempadan Kemboja kelmarin telah memberitahu polis bahawa dia bukan pengebom namun berada di kawasan sama pada malam letupan besar yang mengorbankan 20 nyawa tersebut.
“Ia suatu yang biasa apabila suspek menafikan penglibatannya namun kami masih perlu terus meneliti dakwaan tersebut.
“Hingga kini, kes telah berjalan hampir 70 peratus,” kata Timbalan Polis Kebangsaan, Chakthip Chaijinda kepada pemberita.
Suspek terbaharu itu sangat berkait dengan serangan dan tinggal di kawasan Nong Chok, Bangkok sama seperti seorang lagi lelaki yang ditahan dalam serbuan pada Sabtu lalu dan bersamanya ditemui beberapa pasport palsu, bom jenis TNT, C4 dan baja.
Polis telah menerima pelbagai kritikan berhubung penyiasatan tidak lengkap dan kenyataan daripada pihak berkuasa tertinggi berkenaan pelaku, motif dan maklumat yang diambil daripada suspek yang bercanggah, spekulatif dan tidak jelas.
Jurucakap polis, Prawut Thawornsiri berkata, cap jari suspek terbaharu ditemui di bilik sama letupan terbabit.
“Lelaki itu mungkin individu yang mengambil keluar bom dari bilik itu dan membawanya ke lokasi kejadian,” kata Thawornsiri.
Penyiasatan kes itu telah menjadi semakin hebat sejak serbuan pada hujung minggu lalu sebelum pihak berkuasa mendedahkan pemantauan video kamera dengan kuasa rendah yang menunjukkan seorang lelaki berbaju kuning meninggalkan beg sandang di Kuil Erawan beberapa minit sebelum letupan.
Spekulasi serangan itu berkisar kepada golongan etnik Uighur, penentang kerajaan tentera, pemberontak selatan etnik Melayu dan pelampau asing. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3kd0XS17Q 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment