Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, namun ketika kejadian bot tersebut membawa antara 70 hingga 80 orang.
“Bot itu bukan besar, hanya bot pancung yang boleh memuatkan antara 10 dan 15 orang. Hasil daripada temubual awal terhadap mangsa selamat, kita dimaklumkan bot membawa lebih muatan iaitu antara 70 hingga 80 orang,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Hutan Melintang di sini hari ini.
Tambah Mohd. Shuhaily, hasil siasatan awal pihaknya juga mendapati sebilangan mangsa yang telah ditemukan mempunyai dokumen perjalanan yang sah ke negara ini tetapi tinggal melebihi tempoh.
“Setakat ini Jabatan Forensik memaklumkan enam mayat telah dikenal pasti identitinya, masing-masing lima di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh iaitu seorang lelaki dan empat wanita hasil pengecaman oleh waris mangsa.
“Sementara seorang lagi mangsa lelaki di Hospital Teluk Intan di kenal pasti identitinya melalui pe­nemuan dokumen pengenalan diri. Sebilangan besar mereka berasal dari Acheh,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily memberitahu, pasukan mencari dan menyelamat telah memperluaskan kawasan operasi tersebut kepada 25 batu nautika dari tempat kejadian.
Tambahnya, operasi juga lebih tertumpu di kawasan muara Su­ngai Bernam iaitu kawasan sembilan mayat mangsa bot tersebut ditemukan semalam.