Keberanian lelaki Myan­mar berusia 23 tahun itu bagaimanapun gagal membantu kerana kawasan tersebut sudah dikepung para pe­gawai dan kakitangan imigresen, polis, Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) serta Jabatan Sukarelawan Malay­sia (Rela) sekali gus menyebabkannya terpaksa akur untuk menyerah diri.
Pengarah Imigresen Nege­ri, Mohamad Yusri Hashim berkata, aksi itu bagaimanapun bukanlah satu-satunya helah yang digunakan lebih 100 warga asing yang berada di kawasan tersebut untuk mengelak daripada diperiksa.
“Ada antara mereka yang menyorok di siling dan di dalam tangki air. Begitu pun, kesemua 113 warga asing di situ berjaya dikumpulkan un­tuk diperiksa dokumen perjalanan mereka.
“Hasilnya, seramai 87 dari­pada 113 warga asing ditahan terdiri daripada 48 lelaki dan enam wanita Myanmar, 15 lelaki dan dua wanita Indonesia, 15 lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Kemboja,” katanya sambil memberi­tahu kesemua yang ditahan berusia di antara 13 hingga 56 tahun.
Menurut Mohamad Yusri, operasi yang bermula kira-kira pukul 2.55 petang itu turut melibatkan pemeriksaan terhadap rumah kongsi dan kawasan sekitar tapak binaan tersebut.
Ujarnya, pemeriksaan awal mendapati, seramai 72 daripada warga asing yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002).
“Seramai 14 lagi yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan manakala satu-satunya lelaki warga Kemboja itu disiasat di bawah Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) kerana tinggal melebihi tempoh masa ditetapkan,” katanya.
Tambah Mohamad Yusri, semua yang ditahan dibawa ke Lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Anak Bukit, Alor Setar untuk siasatan sebelum diserahkan ke Depot Tahanan Imigresen di Belantek, Sik untuk tindakan lanjut.