OPERATOR pelancongan di Xindian kawasan pelancongan popular di New Taipei City mengangkat bot-bot pelancongan untuk disimpan ekoran ancaman Taufan Dujuan, semalam. AFP
TAIPEI 27 Sept. – Kira-kira 3,000 orang, kebanyakan mereka pelancong, dipindahkan dari pulau-pulau terpencil di luar perairan Taiwan, hari ini ketika Taufan Dujuan semakin menghampiri negara ini membawa hujan lebat dan angin kencang.
Dujuan yang membawa angin kencang selaju 209 kilometer sejam berada kira-kira 560 kilometer dari tenggara Hhualien pada kira-kira 2.30 petang waktu tempatan (12.30 petang waktu Malaysia) dan kira-kira 350 kilometer dari pulau Ishigaki, Jepun.
“Kami tidak menolak taufan ini akan bertambah kuat,’’ kata jurucakap Biro Kajicuaca Taiwan.
Operator feri meningkatkan perkhidmatan untuk memindahkan orang ramai dari Pulau Hijau dan Pulau Orkid dan perkhidmatan tersebut akan dihentikan lewat hari ini.
Biro pelancongan tempatan berkata, hampir 3,000 orang dipindahkan daripada kedua-dua pulau tersebut.
Ribut mengancam rancangan yang bakal diadakan pada hujung minggu ini ketika Taiwan menyambut Festival Pertengahan Musim Luruh atau Festival Bulan.
Dujuan dijangka melanda Ishigaki pada petang esok diikuti Taiwan pada hari yang sama.
Ribut turut dijangka melanda China pada Selasa ini. – AFP
No comments:
Post a Comment