Mereka yang berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun itu ditahan pada pukul 9.15 malam semasa berada di dalam kereta jenis Proton Wira yang dinaiki pasangan terbabit.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 2,268.52 gram, 102.23 gram methamphetamine dan 150 biji pil erimin seberat 46.11 gram.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden V. R. Ravi Chandran berkata, dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan untuk kegunaan kira-kira 3,000 penagih.
Menurutnya, dadah tersebut disyaki diedarkan di sekitar daerah ini dan Sungai Siput.
“Kita merampas enam peket plastik lutsinar heroin dan tiga peket methamphetamine serta 15 keping foil aluminium pil erimin dari kereta suspek.
“Pasangan suami isteri itu dipercayai datang dari Pulau Pinang dan lelaki tersebut bekerja sebagai peniaga manakala isterinya pula tidak bekerja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ujar Ravi, siasatan lanjut mendapati, hanya suspek lelaki mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah.
Tambahnya, kedua-dua pasangan suami isteri itu kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 27 September ini.
“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya.