Pusat Kajian Lautan Geomar Helmoltz yang beribu pejabat di Kiel menggunakan komputer dan data pemantauan untuk mengkaji model atau corak komponen pesawat itu dihanyutkan dengan harapan dapat mengecilkan kawasan pencarian yang kini tertumpu di selatan Lautan Hindi.
Menurut laporan portal Flight Global, analisis itu menunjukkan kemungkinan bahagian sayap yang dikenali sebagai flaperon berasal dari kawasan antara barat lautan Sumatera dan Jawa.
“Keputusan kajian juga menunjukkan lokasi pesawat terbabit terhempas mungkin di kawasan lebih jauh ke utara berbanding ramalan sebelum ini,” tambah pusat kajian itu menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, pakar Pusat Kajian Lautan Geomar Helmoltz, Jonathan Durgadoo berkata, misi pencarian yang sedang dilaksanakan di kawasan barat daya Australia mungkin terlalu jauh ke arah selatan.
Namun beliau berkata, walaupun model tersebut konsisten dengan analisis komunikasi yang menunjukkan lokasi pesawat MH370 berakhir di timur Lautan Hindi, ketidaktentuan skala menyukarkan tugas untuk mengesan lokasi pesawat itu terhempas dengan lebih tepat.
“Serpihan pesawat MH370 yang ditemukan perlu dikaji dengan lebih lanjut bagi menyalurkan maklumat yang lebih tepat.
“Kami juga merancang untuk membuat analisis lebih mendalam dengan mengkaji maklumat angin dan ombak sebagai langkah memperbaiki kajian ini,” katanya.