Search This Blog

Monday, September 28, 2015

Sekat kenderaan jimat bahan bakar


Kathmandu: Pihak berkuasa Nepal mula mengehadkan pergerakan kenderaan di seluruh negara berikutan kekurangan bahan api selepas penunjuk perasaan yang membantah draf perlembagaan baru menyekat laluan sempadan perdagangan utama negara itu.

Orang ramai hanya dibenarkan memandu selang sehari, bergantung sama ada nombor plat kenderaan bernombor genap ataupun ganjil, akibat sekatan di sempadan India-Nepal sejak malam Jumaat lalu.


Jurucakap kementerian dalam negeri Laxmi Prasad Dhakal berkata: “Kerajaan mengehadkan pergerakan kenderaan di seluruh negara.

“Kami berdepan masalah besar akibat sekatan di selatan negara ini dan cuba menggunakan bahan api yang ada secara berhemah.”

Sekatan itu dibuat di bandar Birgunj, 90 kilometer dari selatan ibu negara yang berfungsi sebagai hab utama untuk kemasukan minyak dan makanan import ke Nepal. Pergerakan kargo melalui sempadan lain juga semakin berkurangan.

Rasa tidak puas hati penunjuk perasaan bermula selepas anggota Parlimen Nepal mencapai persetujuan mengenai rancangan untuk membahagikan negara Himalaya itu kepada tujuh wilayah di bawah piagam yang diguna pakai pada 20 September lalu.

Lebih 40 maut dalam pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan dari masyarakat Madhesi dan Tharu, etnik minoriti negara itu yang mendakwa sempadan wilayah baru itu akan mengehadkan perwakilan politik mereka.

Pengguna jalan raya berbaris panjang untuk mengisi minyak di Kathmandu malah kerajaan turut meminta syarikat penerbangan membawa bahan api sendiri untuk mengisi minyak pesawat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:56 AM
DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/80716#sthash.NnbsNqUo.dpuf

No comments:

Post a Comment