Search This Blog

Thursday, September 3, 2015

Samseng gaduh, anjing jadi mangsa





ALOR SETAR – Lima lelaki disyaki ahli kongsi gelap Geng 35 dicari polis bagi membantu siasatan tiga kejadian rusuhan di Bedong, Sungai Petani dekat sini kelmarin dan Isnin lalu.
Mereka yang dicari ialah K. Sukumaran, 28, nama panggilan Boka Sasi; G. Thiyagu, 26, nama panggilan Anaconda; Y. Thibagar, 26, nama panggilan Bantha; S. Genga Naidu, 23, nama panggilan Gobi atau Jollu dan R. Prabakaran, 22, nama panggilan Praba atau Sini.
Dalam rusuhan itu, seorang lelaki cedera parah manakala seekor anjing peliharaan turut menjadi mangsa kemarahan ahli-ahli samseng yang cuba membalas dendam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya berkata, kesemua ahli samseng itu dikenal pasti terlibat dalam tiga kejadian rusuhan membabitkan pergaduhan antara dua kumpulan kecil daripada geng kongsi gelap sama.
Menurut beliau, rusuhan tersebut tercetus ekoran perselisihan faham antara ahli kumpulan tersebut dipercayai dalam keadaan mabuk semasa berlangsungnya upacara keagamaan penganut agama Hindu iaitu meranduk api di sebuah kuil di Bedong kira-kira pukul 6 petang, Isnin lalu.
“Rentetan insiden itu, seramai 15 lelaki bersenjatakan parang menyerang sekumpulan lelaki yang sedang melepak di Taman Bandar Baru sehingga mengakibatkan seorang mangsa berusia 25 tahun cedera parah di bahu dan tangan kiri,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini semalam.
Nashir memberitahu, kumpulan yang diserang itu telah bertindak balas dengan membakar 11 buah motosikal dipercayai milik ahli kumpulan lain daripada geng samseng sama di satu kawasan berdekatan ladang kelapa sawit, kira-kira lima kilometer dari lokasi serangan pertama.
Kata beliau, kejadian rusuhan berterusan apabila seramai 12 lelaki bermotosikal bertindak merosakkan pagar dan jeriji rumah serta tiga buah motosikal selain melarikan telefon bimbit dan dompet milik ahli keluarga salah seorang ahli kumpulan samseng yang bergaduh di sebuah rumah di Taman Emas Kelisa kira-kira pukul 12 tengah malam kelmarin.
“Dalam serangan tersebut, kumpulan samseng itu mengelar leher anjing peliharaan keluarga tersebut sehingga mati kerana marah selepas gagal menyerang ahli keluarga itu yang berkurung di dalam sebuah bilik sambil menjerit meminta tolong,” kata beliau.
Bagaimanapun, polis tidak melakukan siasatan lanjut berhubung kematian anjing berkenaan.
Berikutan kejadian itu, Nashir memberitahu, polis berjaya menahan seramai 14 lelaki berusia antara 20-an hingga 30-an di sekitar Sungai Petani dalam tempoh 24 jam selepas insiden rusuhan berkenaan yang mana ada di antara suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kes pecah rumah dan kesalahan di bawah Ordinan Darurat.
Bersama tangkapan itu, polis turut merampas tiga bilah parang, satu pedang samurai, sebilah pisau rambo dan dua batang kayu snuker.
Kelima-lima lelaki itu atau orang ramai yang mengenali mereka diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Muda, Deputi Superintendan Wan Azharudin Wan Ismail di talian 019-988 0354.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0903&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3kd1WTvKc 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment