Search This Blog

Monday, September 28, 2015

Rumah terbakar ketika elektrik terputus


WARTAWAN SINAR HARIAN
Rumah terbakar ketika elektrik terputus

28 SEPTEMBER 2015
Rumah terbakar ketika elektrik terputus Keadaan rumah jenis sementara yang terbakar di Kampung Guntung, malam kelmarin.

PASIR PUTEH - “Dua tiga kali saya berulang alik ke bilik air untuk memadamkan api tapi tetap gagal kerana api marak dengan cepat,” kata Wan Nazreen Wan Zahari, 15, yang berusaha menyelamatkan rumah keluarganya dalam kebakaran di Kampung Guntung di sini, malam kelmarin.

Wan Nazreen berkata, kejadian itu berlaku ketika kampung itu terputus bekalan elektrik.

Menurutnya, ketika itu dia bersama ibunya, Mazitah Harun, 57, sedang makan malam di ruang dapur dengan hanya diterangi cahaya lilin.

“Ibu meminta saya memeriksa apa yang berlaku selepas terdengar letusan kecil dari bilik, saya segera ke bilik itu dan terkejut mendapati api sedang menyala pada siling rumah.

“Saya cepat-cepat keluar dari bilik dan meminta ibu saya menyelamatkan diri, saya memberanikan diri menyimbah air dengan menggunakan baldi tapi tidak berjaya,” katanya.

Wan Nazreen bakal menduduki Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) bulan depan bagaimanapun bersyukur kerana anggota keluarganya terselamat.

Ketika kejadian katanya, bapanya, Wan Zahari Wan Mat, 64, tiada di rumah kerana berada di masjid, kira-kira 500 meter dari rumah mereka untuk menunaikan solat Isyak.

Sementara itu sepupu Nazreen, Mohd Zul Zani Zahari, 32, berkata, ketika kejadian, dia baru hendak menidurkan tiga anaknya sebelum terdengar bunyi seperti mercun.

Katanya, dia bersama ayahnya, Zahari Hamid, 68 serta ibunya, Asiah Harun, 62, berasa tidak sedap hati dan cuba meninjau untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Mohd Zul Zani terkejut mendapati rumah bapa saudaranya di belakang rumanya terbakar dan balik ke rumah semula menyelamatkan ibunya yang tidak sihat kerana jarak rumahnya dengan rumah itu hanya dua meter.

Kejadian itu menarik perhatian Adun Limbongan, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah yang mengunjungi mangsa malam kelmarin dan menyampaikan sumbangan Tabung Serambi Mekah pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, lima anggota dengan dua jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 9.26 malam.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal dalam masa 35 minit sebelum operasi ditamatkan jam 10.39 malam.

“Ketika kami tiba di lokasi, rumah jenis sementara terbakar keseluruhannya, tiada kecederaan dan kehilangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan sementara anggaran kerugian adalah RM85,000,” katanya.

No comments:

Post a Comment