Search This Blog

Saturday, September 5, 2015

Pukau jual iPhone 6s RM400

Bangi: Seorang lelaki yang dipukau hingga bersetuju membeli telefon pintar iPhone 6s terkejut apabila mendapati objek yang diserahkan suspek hanyalah sarung telefon pintar kosong.
Dalam kejadian jam 2.30 petang kelmarin, mangsa berusia 20-an mendakwa dihampiri suspek lelaki ketika sedang membeli-belah di sebuah pasar raya di Bandar Baru Bangi, di sini.
Sumber berkata, suspek menunjukkan telefon pintar iPhone 6s dan menawarkan mangsa untuk menjual telefon pintar itu.
“Pada mulanya mangsa enggan melayan tawaran lelaki itu selepas memberitahu dia tidak berminat.
“Bagaimanapun mangsa mendakwa seolah-olah dipukau sebelum bersetuju melakukan pengeluaran wang tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berhampiran,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang dalam keadaan separuh sedar menyerahkan wang tunai RM400 kepada suspek.
“Suspek menyerahkan telefon pintar berwarna putih berserta kabel USB sebelum beredar pergi.
“Mangsa yang tersedar tidak lama kemudian memeriksa telefon pintar itu,” katanya.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun terkejut apabila telefon pintar diserahkan itu hanyalah sarung kosong tanpa komponen dalaman.
“Suspek diyakini mempunyai ‘ilmu’ menyebabkan mangsa hilang ingatan.
“Susulan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi berhubung kejadian berkenaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:34 AM

SARUNG telefon yang diserahkan kepada mangsa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75403#sthash.VNZZOfm2.dpuf

No comments:

Post a Comment